Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, 9 May 2011

Minggu-minggu terakhir

bergambar kenangan bersama kawan-kawan ketika mengunjungi wadi rome

Assalamualaikum...

Maaf kerana tidak mengupdate blog ini buat kesekian lamanya. Bukan tidak mahu, tetapi sedar akan kekurangan bakat dalam penulisan. Jika ingin menulis sesuatu entri terutamanya yang berkaitan dengan hal peribadi atau luahan rasa, ia akan mengambil masa yang sangat lama untuk menyusun kata dan ayat. Ia lebih mudah bagi saya mengarang entri yang berkaitan dengan bidang saya, mungkin kerana itu lebih dekat dengan fikiran saya..

Terasa seperti baru semalam menjejakkan kaki di bumi Jordan ini, demi menghabiskan baki 1 tahun 9 bulan pengajian di Universiti Yarmouk dalam bidang Shariah (Ekonomi dan Perbankan Islam). Selain daripada itu, saya juga telah berazam untuk menggenggam segulung ijazah menepati waktu yang saya, ibubapa dan juga pihak Kolej Antarabangsa IKIP harapkan...

Sedar atau tidak, pada hari lusa ini, peperiksaan akhir semester 8 akan bermula. Ini bermakna hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum saya menamatkan semester terakhir saya di sini. Kalau diikutkan markah 'carry mark' saya untuk final ini, saya yakin boleh untuk sekurang-kurangnya lulus untuk semua subjek yang saya ambil. Namun begitu, saya harus percaya bahawa ketentuan itu semua adalah milik-NYA. Saya selaku hamba-NYA hanya perlu berusaha dan meminta pada-NYA agar berikan kejayaan itu pada saya.

Kejayaan yang kita sedang kecapi dan bakal kecapi dalam hidup kita adalah milik mutlak sang pencipta. Jangan bongkak menayangkan kejayaan kita di khalayak manusia kerana semua itu hanya pinjaman dari-NYA. Tidak malukah kita menayangkan 'barang pinjam'?? lalu dibangga-banggakan seperti barang itu kepunyaan kita? Oh..sungguh tak malu mereka yang bersikap sebegitu...

Kejayaan itu sebenarnya bersifat abstak. Tak semestinya orang yang menerima segulung ijazah itu sudah dikira mengecapi kejayaan. Bahkan banyak peristiwa yang Allah tunjuk di muka bumi ini membuktikan bahawa kejayaan yang tidak diselangi syukur pada tuhan tidak semestinya berjaya juga di sisi tuhan, contohnya ramai manusia menyangka mereka itu adalah insan-insan 'berjaya' tetapi hakikatnya mereka adalah dari kalangan 'mereka yang gagal' di sisi tuhan.

Ada juga yang Allah berikan kejayaan pada seseorang bukan kerana sayang, tetapi kerana murkanya Allah padanya. Bila orang itu berjaya, dia akan makin lupa pada tuhan-NYA. Makin jauh meninggalkan perintah-NYA dan makin asyik melakukan larangan-NYA. Sesungguhnya, orang-orang begini amatlah rugi di akhirat kelak.

Berjaya atau tidak itu bukan persoalannya, berusaha atau tidak untuk mencapai kejayaan itu yang akan Allah persoalkan. Sejauh mana tahap usaha itu bergantung pada kemampuan diri masing-masing. Kejayaan di dunia ini boleh dinikmati cuma 6o-70 tahun sahaja. Itupun kalau Allah nak bagi panjang umur sampai situ. Kalau hidup Allah bg pada saya cuma 55 tahun, tolak 22 umur saya sekarang, tinggallah lagi 33 tahun.. tidaklah lama mana sebenarnya..

Oleh itu, betulkan persepsi bahawa apa juga kejayaan yang kita kecapi pada masa ini adalah pinjaman yang boleh Allah tarik bila-bila masa. Tidak ada jaminan yang lebih pasti daripada jaminan tuhan. Jadikanlah kejayaan yang kita kecapi sebagai wadah untuk mencapai kejayaan di akhirat kelak yang kekal abadi selamanya. :)

p/s: Doakan kejayaan saya menamatkan semester ini dengan jayanya.. tak sabar saya nak balik malaysia tau! hehe



Sunday, 20 March 2011

Bumi Akhir Usia


- Di dalam kisah Israk' Mikraj, Nabi menggambarkan bagaimana dalam perjalanan malamnya, Baginda bertemu dengan seorang perempuan tua. Lalu Jibril (Malaikat yang mengiringi baginda selama perjalanan Israk Mikraj) memberitahu bahawa perempuan tua ini adalah dunia yang fana (ad-dunya) {Fath al-Bari VII, 185}" Jika usia dunia ketika itu sudah terlalu tua, sudah tentu kita boleh bayangkan betapa uzur dan tak berdayanya perempuan itu sekarang dan kita harus menyedari hakikat bahawa bumi ini sudah berada di penghujung usia.


- Melihat kepada bencana Alam yang menimpa Jepun menunjukkan bahawa janji Allah itu pasti dan Dia sahajalah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap satu di muka bumi ini. Sehebat mana akal manusia pun, masih tak mampu melawan pengetahuan Allah. Ambillah ia sebagai satu amaran dan pengajaran buat diri kita supaya lebih mengenal Sang Pencipta.


- Di akhir zaman ini, ramai manusia makin hilang nilai tamadun, makin jahil, makin jauh dari tuhan. Bahkan binatang itu lebih mulia dari mereka. Firman Allah s.w.t "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami [ayat-ayat Allah] dan mereka mempunyai mata [tetapi] tidak dipergunakan untuk melihat [tanda-tanda kekuasaan Allah] dan mereka mempunyai telinga [tetapi] tidak dipergunakan untuk mendengar [ayat-ayat Allah]. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." ~ Al-A'raaf : 179. Bayi kecil yang dibuang merata2 itu bukankah satu sikap yang lebih hina dari binatang?

- Apakah sebenarnya matlamat hidup kita di dunia ini? Harta?? Pangkat?? Kemahsyuran di mata orang dengan ilmu di dada??  Demi Allah! Semua itu tidak bernilai langsung di sisiNYA. Bahkan orang-orang begitu amatlah rugi jika semuanya itu tidak diniatkan untuk mendapat redha Allah. Dunia ini hanya sementara, hanya destinasi PERSINGGAHAN sebelum ke destinasi terakhir. Ramai manusia lupa bahawa kita semua adalah HAMBA. HAMBA. dan HAMBA. 

- Aku hairan melihat mereka yang terlalu mengejar dunia, lebih usahanya dari kejar akhirat. Benarlah, dunia ini penuh dengan fana dan pesona, hingga terlupa pada permata yang sebenar-benarnya. Tidak ada salahnya untuk kejar apa yang ada di dunia ini, tetapi niatkanlah apa yang dikejar di dunia ini adalah satu usaha untuk mencapai kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi.

- Kejar dunia, Akhirat lari jauh dari kita. Kejar Akhirat, Dunia terhegeh-hegeh cari kita. :)

- Jangan sombong, Jangan riya'. Apa yang kita dapat, semuanya Allah yang beri. Kita cuma berusaha, insya'allah ada ganjarannya.

- Jangan pandang lekeh pada orang miskin, orang tua, atau orang yang kerjanya 'murah' di mata manusia. Pesan saya, pada yang sedang bekerja atau bakal bekerja nanti. Kalau jumpa 'cleaner2' di pejabat, jangan sombong atau ego. Senyum2 lah. Walaupun mereka rendah dari segi jawatan, tetapi di sisi tuhan sape yang tahu? Siapa boleh jamin dirinya lebih tinggi darjatnya di sisi Allah dari si tukang sapu itu? siapa?! 

- Akhir sekali, marilah kita perbaiki diri kita, Jadilah sebenar-benar hamba, bukan cakap je hamba. Ingatlah, mereka yang berjaya menjadi sebenar2 hamba di dunia, mereka itu akan menjadi RAJA di akhirat. Manakala mereka yang menjadi raja (bukan maksudku sultan @ Raja agong tu.. -.-' ) di dunia ini, maka di akhirat nanti mereka bakal menjadi hamba, selama-lamanya, sampai bila2, kekal di dalamnya.. sekian.


p/s: Aku sering kagum dengan mamaku, sebab mama sering memberi barang-barang atau makanan kepada cleaner2 di pejabatnya. Aku ingin jadi macam mama.. :)

Saturday, 12 March 2011

Mengapa perlu berkahwin?

1. Aku tidak mahu berkahwin!, Aku bosan dengan orang lelaki yang berhidung belang! Lelaki sekarang hanya mahu kepuasan nafsu sahaja tapi tidak reti untuk membimbing! Nak jadi imam pun tak tahu.. Solat jauh sekali!!

2. Buat ape aku perlu berkahwin? aku dah ada kerjaya sendiri. Hidup aku lebih aman damai, tak perlu ribut tentang anak-anak. Aku enjoy dengan kehidupan sekarang nih.

3. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia, nanti banyak sangat komitmen..

4. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?.. Berkahwin bukan untuk bercerai..

*****

Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup akibat dari latarbelakang keluarga yang tidak harmoni. Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau memberikan komitmen dalam perkahwinan.

Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang bekerjaya profesional, hidup mewah tidak mahu berkahwin. Terutamanya apabila yang sudah mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki/perempuan..


Mengapa Perlu Berkahwin ?

Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya mereka yang akan berkahwin, 'bercouple', dan juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin samada takut, risau, serta alasan yang lain. (Kecuali mereka yang mempunyai penyakit yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta. Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat, tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri, mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri/suami).

Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh ALlah. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamnya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Dari Abi Samrah r.a menyatakan :



Nabi melarang daripada hidup membujang.
(Riwayat at Tirmidzi dalam kitab perkahwinan, bab meninggalkan perkahwinan).

Saad bin Abi Waqqas r.a berkata :
"RasuluLLah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un untuk hidup membujang. Kalaulah RasuluLlah membenarkannya nescaya kami akan mengembiri.
(Riwayat Muslim dlam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).




Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan yang dimurkai ALLah. Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka tidak dapat membendung keinginan serta menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan wanita. Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir yang tidak elok. Akhirnya ada yang telah menghampiri kepada zina serta menjerumuskan diri di dalamnya. Anak-anak luar nikah dikandungnya, ada yang dibunuh, dibuang, dan juga dibela.


Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela anak angkat. Sayangnya di dalam Islam, anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya. Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.


Perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang soleh dan berkualiti


Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti :
"Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat.
(Riwayat Abu Daud dalam sunannya : KItab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)


Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya.


Jiwa tenang dengan jalan pernikahan


Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman ALLah ta'ala yang bererti :

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".
(Ar Rum :21)


Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan fikiran dan hatinya tidak berasa tenang, tiada teman untuk dikongsi masalah? Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki dan wanita melalui jalan perkahwinan? Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran, perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa kepada perasaan malu dan pesimis.


Perkahwinan meluaskan persaudaraaan dan membina prinsip kerjasama.


Sebelum perkahwinan - kita akan fikir untuk hidup buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan kematangan dalam pengurusan hidup. Solat bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga berseorangan.


Sebelum berkahwin - tidak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.


Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.


Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.


Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.


"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui".
(An Nur : 32)

Friday, 10 December 2010

Islam Dan Konsep Ketuanan Melayu

Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

Islam Agama Keadilan


Islam adalah agama yang meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan konsep keadilannya. Oleh yang demikian, sebarang isu perlu dinilai terlebih dahulu dari sudut agama itu sendiri.

Apabila membincangkan soal meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apabila Islam mula berkembang, masyarakat Arab Jahiliyyah samada di Makkah mahupun di Madinah (Yathrib) mempunyai krisis politik yang serius. Islam meraikan kedudukan "ketuanan" bangsa-bangsa tertentu dalam negara mereka berdasarkan faktor sejarah dan sebagainya.

Ketika Rasulullah s.a.w. hadir ke Madinah, Rasulullah s.a.w. memberikan kepimpinan politik tempatan kepada "bangsa"yang menetap di situ khususnya golongan Anshar dari kalangan Aus dan Khazraj. Rasulullah s.a.w. dilihat sebagai pemimpin Madinah kerana memimpin sudut keagamaan masyarakat tersebut yang mana agama Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan. Ini akhirnya menyebabkan kepimpinan Rasulullah s.a.w. dalam bidang agama turut juga merangkumi bidang ketenteraan dan politik.

Namun, bangsa Aus dan Khazraj masih memimpin bahagian politik tertentu khususnya melibatkan bangsa mereka. Namun, ketika Islam semakin berkembang sehingga ke Makkah (stelah Fath Makkah), Rasulullah s.a.w. tidak mengambil alih kepimpinan politik tempatan daripada pembesar Quraisy di Makkah walaupun memimpin masyarakat Islam sebagai sebuah Ummah dalam skop yang lebih besar. Namun, ketuanan bangsa sesuatu tempat tetap dipelihara.


Kesultanan Melayu dan Turki Uthmaniyyah

Begitu juga kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang menetap dalam Tanah Melayu sejak sekian lama (beserta golongan pribumi yang lain) bahkan suatu bangsa yang mempertahankan Islam sejak sekian lama di Tanah Melayu ini, serta kesultanan Melayunya secara jelas merupakan cabang daripada Khilafah Uthmaniyyah sebelum kejatuhannya, menunjukkan betapa ketuanan Melayu perlu dipertahankan atas dasar sejarah dan kepentingannya dalam menjadi bangsa utama yang mempertahankan Islam di samping sebagai bangsa yang menduduki tanah Melayu ini. Ketuanan Melayu adalah identiti tanah Melayu di sisi tamadun Islam secara umum dan di sisi khilafah Islamiyyah pada zaman Uthmaniyyah.

Nama asalnya iaitu "Tanah Melayu" sendiri sudah menunjukkan kedudukan bangsa Melayu sebagai penduduk asal yang membangunkan tamadun di Malaysia. Konsep ketuanan sesuatu bangsa tidak pernah bercanggah dengan Islam malah diraikan dalam Islam selagimana ianya dipertahankan atas kerangka agama Islam itu sendiri.

Ketuanan Bangsa dan Fitrah


Mempertahankan ketuanan sesuatu bangsa di tempat mereka adalah fitrah manusia itu sendiri yang lahir cari mencintai bangsa sendiri secara tabi'e. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah ditanya:

يا رسول الله امن العصبية أن يحب الرجل قومه؟

Maksudnya: Wahai Rasulullah... Adakah dari kalangan Asabiyyah, seseorang itu sayang kaumnya sendiri?"

Rasulullah s.a.w. menjawab:

لا ولكن من العصبية أن ينصر الرجل قومه على الظلم

Maksudnya: "Tidak... Akan tetapi Asabiyyah adalah seseorang itu membela kaumnya ke atas kezaliman..."
[hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam Ibn Majah]



Sepertimana di India, bangsa India mempertahankan ketuanan bangsanya, begitu juga di China, bangsa Cina mempertahankan ketuanan bangsanya, di Arab juga, bangsa Arab mempertahankan ketuanan Arabnya, selagimana bukan atas dasar membela bangsa sendiri dalam kezaliman, maka ianya tidak termasuk dalam Ashabiyyah yang ditolak oleh Islam. Selagimana ianya tidak ditolak oleh Islam, maka Islam meraikannya kerana ia adalah suatu fitrah manusia yang mencintakan tanah airnya sendiri.

Konsep "ketuanan Melayu" tidak wajar dilihat secara terasing (daripada konsep Islam) kerana sejak sekian lama, para ulama' Nusantara tidak memisahkan perjuangan bangsa dan agama kerana kepentingan bangsa Melayu untuk mempertahankan agama Islam dan tanah air mereka yang asal. Kepincangan dalam mempertahankan "ketuanan Melayu" oleh sesetengah pihak (politik) tidak boleh dijadikan satu-satunya hujah untuk menolak "ketuanan Melayu" tanpa memahami sejarah dan falsafahnya. Kalau kita lihat "minda umum" para ulama' Nusantara yang mengembangkan agama Islam di Nusantara (termasuk Malaysia), perjuangan bangsa dan agama tidak terpisah terutamanya apabila Islam sudah menjadi sebahagian daripada “takrif” bagi bangsa Melayu itu sendiri.

Kita dapat lihat betapa ramai para ulama' Nusantara mempertahankan "kecintaan bangsa Melayu" dalam semangat mengembangkkan ilmu agama, sehingga mereka menetap di negara Arab sekalipun, namun masih mempertahankan "nisbah bangsa dan tanah air" mereka. Siapa tidak kenal dengan tokoh ulama’ Nusantara seperti Sheikh Nawawi Al-Bantani (dari Banten, Indonesia), Sheikh Mahfuz At-Tarmasi (dari Termas, Indonesia), Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani (dari Padang, Indonesia), Sheikh Abdul Karim Al-Banjari (dari Banjar, Indonesia), Sheikh Wan Ismail Al-Fathani (dari Pattani), Sheikh Shaleh Al-Kalantani (dari Kelantan, Malaysia), Sheikh Shaleh Al-Filfilani (dari Pulau Pinang, Malaysia), dan sebagainya yang masyhur di negara-negara Arab namun masih menisbahkan diri kepada tanah air masing-masing tanda kecintaan kepada tanah asal mereka (iaitulah Nusantara).

Begitu juga para ulama' Nusantara yang menisbahkan diri mereka kepada tanah air masing-masing yang giat mengembangkan Islam di Nusantara seperti Sheikh Daud Al-Fattani (dari Pattani), Sheikh Abdul Shamad Al-Falambani (dari Palembang), Sheikh Arsyad Al-Banjari (dari Banjar), Sheikh Idris Al-Marbawi (dari Merbau, Perak) dan sebagainya.

Berdasarkan gambaran umum "minda" para ulama' Nusantara ini, kita dapati mereka sangat mencintai bangsa, tanah air dan ketuanan bangsa mereka di tanah air mereka, sehingga masih menisbahkan diri mereka kepada tempat-negara mereka. Setiap orang mempunyai kecintaan tersendiri terhadap tanah asal mereka. Bahkan, sejarah Tanah Melayu secara jelas menunjukkan kedudukan bangsa Melayu di tanah tersebut.

Kita perlu faham juga, desakan untuk menolak "ketuanan Melayu" daripada orang-orang kafir adalah daripada minda mereka yang "Liberal" dan ingin menyamakan semua agama (setelah berjaya menyamakan semua bangsa) di Malaysia. Kita perlu berhati-hati dengan kelicikan orang-orang kafir ini dan berhati-hati juga mereka yang dipergunakan oleh orang-orang kafir untuk menjatuhkan keutuhan Islam melalui kejatuhan bangsa utama yang menjaganya di Tanah Melayu ini.

Sebenarnya, mempertahankan ketuanan Melayu di "Tanah Melayu" bukanlah suatu agenda politik parti-parti "kebangsaan" tertentu kerana para ulama' Nusantara yang menyimpan semangat "ketuanan Melayu" (ketuanan Nusantara) tidak pernah mewakili mana-mana parti politik kebangsaan sekular. Bahkan, semangat "Ketuanan Melayu" hanyalah suatu fitrah murni yang memahami asal-usul, sejarah dan kedudukan asal sesuatu bangsa di tanah air mereka. Ketuanan Melayu yang ditolak oleh Islam adalah yang terpisah daripada Islam itu sendiri. Kalau mempertahankan ketuanan Melayu di Tanah Melayu berteraskan semangat "mempertahankan agama dan sejarah tanah air" tidak salah kerana dalam banyak catatan hadith, Rasulullah s.a.w. sendiri mempertahankan ketuanan Quraisy (kepimpinan Quraisy) dalam urusan khilafah islamiyyah secara umum.


Kesimpulan: Islam Menjaga Konsep Ketuanan

Islam itu adalah agama yang mengajar cara hidup yang sempurna. Islam adalah pedoman, sedangkan "tuan" terhadap sesuatu tanah asal itu berkait rapat dengan sifat manusia. Islam mengajar seseorang untuk menjaga hak manusia samada secara individu atau berkelompok. Ketuanan "rumah" seseorang pun dijaga oleh Islam, apatah lagi ketuanan sesuatu bangsa bagi sesuatu tanah air. Ketika Fath Makkah, Rasulullah s.a.w. sendiri mengisytiharkan sesiapa yang duduk dalam rumah "masing-masing" tidak akan diapa-apakan. Itulah Islam.

Meraikan tanah asal sesuatu bangsa, walaupun bangsa tersebut pernah mengusir Saidina Rasulullah s.a.w.. Bahkan, setelah itu, Rasulullah s.a.w. pulang ke Madinah dan menyerahkan urusan politik tempatan kepada bangsa Quraisy semula di samping Baginda s.a.w. memimpin umat Islam sebagai suatu daulah islamiyyah yang yang lebih menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan.

Inilah ajaran Rasulullah s.a.w. yang sangat lapang dan tidak menyalahi fitrah. Dalam mana-mana negara Islam sejak zaman khilafah Islam pun ada konsep meraikan hak bangsa yang membangunkan ketamadunan di sesuatu tempat, untuk terus menguruskan tanah air sendiri. Kita janganlah bicara soal syariah "Islam" sehingga terlupa sudut maqasid syar'iyyah (tujuan pensyariatan)nya. Antaranya adalah menjaga "hak pemilikan", dan sebagainya. "Kita boleh lihat di sekitar khilafah Islamiyyah yang pernah wujud, mempunyai kerajaan-kerajaan tempatan yang menjadi cabang yang bernaung kepada khilafah Islamiyyah yang terbesar dalam zaman tersebut.

Bahkan, ketika zaman Khilafah Uthmaniyyah, Kesultanan Melayu dianggap sebagai cabang kepada khilafah Islamiyyah pada ketika itu bahkan "politik tempatan" yang diamalkan di Tanah Melayu tidak pernah ditolak oleh Khilafah Islamiyyah yang terbesar pada ketika itu. Ini menunjukkan kedudukan konsep "ketuanan" sesuatu bangsa di tanah asal mereka tidak pernah bercanggah dengan Islam. Apa yang salah adalah Ashobiyyah, iaitu membela individu dalam bangsa sendiri yang melakukan kezaliman atas dasar sama bangsa. Hal ini jelas bagi sesiapa yang menguasai ajaran Islam yang menyeluruh dan konsep Hadarah Islamiyyah yang luas.

Sumber : http://www.facebook.com/note.php?note_id=177157942311392&id=100001651082887

P/S : Artikel ini perlu dibaca dengan tenang dan rasional tanpa melihat dari sudut kePARTIan, dan jangan panggil saya racist yer. :)

Thursday, 23 September 2010

Berpesan-pesan sesama remaja


وَتواصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ


Ku mulakan coretan kali ini dengan membawa sepotong firman allah dalam surah al-asr yang bermaksud "Mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran". Membaca ayat ini sahaja sudah pasti mendatangkan satu persoalan kepada kita iaitu perkaitan di antara berpesan dan sikap sabar. Sebagai seorang muslim, seharusnya kita sudah sedia maklum akan konsep berpesan yang dianjurkan agama. Namun, kadangkala sikap berlepas tangan masyarakat Islam kini dalam menyampaikan pesanan mengakibatkan pelbagai kesan negatif telah berlaku dan akhirnya menjadi barah yang sukar diubati.

Kelompok masyarakat yang paling teruk terjejas dengan kesan-kesan negatif adalah dari kalangan remaja. Remaja yang diharapkan bakal menjadi peneraju generasi masa hadapan yang lebih gemilang tampaknya makin pudar. Namun, sebagai seorang yang masih bergelar remaja, aku juga punya keinginan untuk mengajak remaja lain ke arah yang lebih baik agar tidak tersasar jauh. Tetapi mampukah aku berbuat demikian?

Aku bukanlah seorang pengkaji sosiologi remaja, tetapi aku tahu apa yang dimahukan oleh kebanyakan remaja kerana aku juga seorang remaja! Pada pemerhatian ku, remaja inginkan kebebasan, dengan kata lain bebas dari kongkongan ibubapa. Bagi mereka, ini adalah satu bentuk 'penjara' yang membataskan pergerakan mereka dalam melakukan sesuatu tindakan. Kedangkalan pemikiran serta kurangnya kesedaran mengakibatkan 'Kebebasan' yang dinikmati telah disalahguna. Akhirnya memakan diri sendiri dan menggelapkan masa depan yang masih belum muncul sinarnya.

Soal pengaruh rakan juga merupakan elemen penting dalam sikap seorang remaja. Biarpun sekuat mana mereka cuba bertahan, akhirnya ramai yang tertewas. Dek suasana persekitaran yang tidak sihat mengakibatkan diri terpaksa mengikut arus dan tak berdaya melawannya. Ibubapa juga perlulah memainkan peranan penting dalam mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan. Ini adalah supaya ibubapa dapat memastikan aktiviti anak bersama rakan dalam keadaan terkawal.

Sememangnya terlalu banyak faktor yang mempengaruhi kerosakan remaja. Jika ditulis satu persatu, tentu sekali tidak larat untuk membacanya. Biar beribu masalah yang dihadapi untuk mengubah remaja2 ini, jangan kita lupa bahawa agama  merupakan solusi terbaik dalam mencari jalan penyelesaian. Dan Allah telah menjadikan Islam sebagai panduan terbaik dalam hidup seorang manusia.

Dalam menyampaikan pesanan atau dakwah kepada mereka, seharusnya kita terlebih dahulu memahami masalah yang dihadapi mereka. Gunakanlah budi bicara yang sesuai dan penuh dengan kata hikmah. Pesanan yang dicampuri dengan nada2 sinis dan caci maki amat dibenci oleh mereka. Jangan ada unsur paksaan yang melampau. Jangan terlalu keras dalam meletakkan hukum agama pada mereka, cukup sekadar memberi penerangan yang mudah difahami dan membuatkan mereka kembali berfikir. Kerana perubahan yang kita mahukan adalah dari keikhlasan hati mereka, bukannya kerana orang lain. 

Ketika berpesan-pesan, jangan terlalu mengharapkan reaksi positif. Anda harus lebih bersedia dengan reaksi negatif mereka. Jangan terlalu ambil hati jika dimaki semula, anggaplah ia sebagai satu ujian dan cabaran yang harus ditempuhi. Paling penting harus bersikap sabar, bersabarlah seperti baginda nabi s.a.w. Biar dihina dengan pelbagai cara, namun baginda tetap tiada dendam dan membalas dengan perkara kebaikan. Sebab itu, syarat untuk berpesan itu harus memiliki kesabaran sekaligus memasukkan diri ke dalam golongan soleh seperti mana ayat quran sebelumnya yang bermaksud "kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh".

Akhir sekali, bersyukurlah pada allah sekiranya anda berada dalam kelompok kecil yang dipelihara allah dari kerosakan generasi remaja. Peringkatkanlah pesanan dan dakwah kepada mereka yang tergelincir dari landasan kebenaran. Gunakanlah apa juga cara selagimana dihalalkan syarak untuk menarik mereka. Berdoalah supaya Allah berikan ketabahan dalam diri dan tetap di atas jalan-NYa di samping mendoakan moga allah memberikan petunjuk kepada mereka semua. Moga kita semua jadi hamba-NYA yang bertaqwa..

Thursday, 25 February 2010

Menghayati Kehebatan Rasulullah S.A.W



Kewajipan Mentakzim Rasulullah SAW
Kata al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitabnya al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa (j. 2, h. 35-36):
Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi SAW sesudah wafatnya serta memulia dan mengagungkannya adalah lazim (wajib), sebagaimana hal keadaan pada masa hidupnya. Dan yang demikian itu adalah ketika menyebut baginda SAW, menyebut hadith dan sunnahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli keluarganya serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabatnya.


Kata Abu Ibrahim al-Tujibi:
Wajib atas setiap mukmin apabila menyebut baginda SAW atau disebut nama baginda SAW di sisinya hendaklah ia tunduk, khusyuk, hormat dan diam dari bergerak serta merasakan kehebatan baginda SAW dan kehormatannya, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia sendiri berada di hadapan baginda SAW, serta beradab sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita.

Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Beginilah akhlak para salafussoleh dan imam-imam kita dahulu (رضي الله عنهم).

Akhlak Para Salaf Terhadap Rasulullah SAW

Imam Malik RA pernah bertemu Ayyub al-Sakhtiyani, seorang perawi hadith yang masyhur, katanya:
“Apabila disebutkan Nabi SAW, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya”.


Kata Mus‘ab bin ‘Abdullah:
Imam Malik apabila menyebut Nabi SAW akan berubah warna rupanya dan menundukkan kepala sehingga menyukarkan hal tersebut kepada orang-orang yang duduk bersamanya. Lalu pada suatu hari beliau ditanya mengenai hal berkenaan, maka jawab beliau:

“Sekiranya kamu sekalian melihat apa yang aku lihat, nescaya kamu sekalian tidak akan hairan kepadaku terhadap apa yang kamu lihat.

Aku pernah melihat Muhammad bin al-Munkadir, dan beliau adalah penghulu para qurra’, hampir-hampir tidak pernah kami bertanya kepadanya mengenai sesuatu hadith pun melainkan beliau akan menangis sehingga kami berasa kasihan terhadapnya.

Aku pernah melihat Ja‘far bin Muhammad - al-Sadiq -, dan beliau seorang yang banyak bergurau dan tersenyum, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, rupa beliau akan berubah menjadi kekuningan (kerana pucat), dan tidak pernah aku melihatnya meriwayatkan hadith dari Rasulullah SAW melainkan dalam keadaan suci.

Pernah ‘Abdul Rahman bin al-Qasim menyebut Nabi SAW, lalu kami lihat kepada warna rupanya seolah-olah telah keluar darah daripadanya (kerana pucat lesi), dan lidahnya menjadi kering dan kelu di dalam mulutnya kerana merasakan kehebatan Rasulullah SAW.

Aku juga pernah datang kepada ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Zubair, apabila disebut di sisinya Rasulullah SAW beliau akan menangis sehingga tidak tinggal lagi air mata di matanya.

Aku pernah melihat al-Zuhri, dan beliau adalah orang yang paling ramah dan mesra, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, maka dia seolah-olah tidak mengenali kamu dan kamu tidak mengenalinya.

Aku juga pernah datang kepada Safwan bin Sulaim, dan beliau adalah dari kalangan ahli ibadah, namun apabila beliau menyebut Nabi SAW, beliau akan menangis dan terus-terusan menangis sehingga orang-orang akan bangun dan meninggalkannya”.


Al-Hafiz al-Sakhawi mengulas dalam kitabnya al-Qawl al-Badi‘ (h. 350):
Maka jika kamu amati benar-benar hal ini, kamu akan tahu apa yang wajib ke atasmu dari rasa khusyuk, tunduk, hormat, beradab dan tekun mengucapkan selawat dan salam apabila menyebut nama baginda SAW atau mendengar namanya yang mulia.

صلى الله عليه وسلم تسليماً كثيراً كثيراً كثيراً


Sunday, 7 February 2010

Kepentingan Muhasabah Diri

Muhasabah adalah perilaku bagi mengitung dan memperelokkan diri yang terbentuk di dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan yang boleh menjadi pengalang untuk mandapat keredhaan dari Allah Taala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang menikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).(Riwayat al-Tarmizi).

Sesiapa yang bermuhasabah dirinya maka dia tidak akan meninggalkan ruang dan masa untuk dirinya melakukan perkara-perkara yang batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang yang dia lakukannya terhadap Allah Taala kerana takutnya diri ini kepada kekuasaanNya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan?

Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie:
Daripada takut akan timbulnya muhasabah
Daripada muhasabah timbulnya muraqabah
Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah Taala.
(Kitab: al-Burhan al-Muayyad).
Secara tegasnya muhasabah pasti akan menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah Taala dan rasulNya serta makhluk-makhlukNya. Melalui muhasabah juga manusia merasa diri mereka tidak diciptakan oleh Allah Taala dengan sia-sia. Setiap manusia pasti akan kembali semula kepada Allah Taala apabila telah sampai waktunya.
Firman Allah Taala bermaksud:

Setiap yang berjiwa (yang bernyawa) akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia telah beruntung. Kehidupan dunai itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.(Surah ali-Imran: Ayat 185).
Di dalam kesibukkan kita mengejar kekayaan dunia ini maka janganlah lupa juga untuk kita menyibukkan diri dengan mengingati Allah Taala. Perkara seperti inilah yang selalu dituntut oleh agama Islam.
Firman Allah Taala bermaksud:

Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu.(Surah adz-Dzaariyaat: Ayat 50).

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang yang benar.(Surah at-Taubah: Ayat 119).
Adapun golongan sufi sentiasa menyibukkan diri dengan penghambaan dan pengabdian diri kepada Allah Taala. Mereka beriman di dalam perjalanan musafir ini menuju Allah Taala dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati bahawa mereka akan kembali kepada Allah Taala pada setiap masa.
Firman Allah Taala bermaksud:
Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi tuhan (Allah Taala) Maha Kuasa. (surah al-Qamar: Ayat 55).
Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:

Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat redha nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimilah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang sahih tanpa bertolak-ansur terhadap perkara yang telah nyata salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas.(Kitab: Qawaid al-Tasawuf).
Demikianlah pentingnya muhasabah di dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas maka seseorang itu akan sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabahlah diri dengan hati yang terbuka agar kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelamahan diri sebelum diri kita menemui ajal.
Berkata Saidina Umar al-Khattab:

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang.
(Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin).
‘Memberi dan Berbakti’

Wednesday, 6 January 2010

Nasihat buat para penasyid


Kumpulan Fikrah

Final Exam akan bermula tidak lama lagi. Bermula dengan paper 'التنمية في الإسلام' (The Development in Islam) pada 10hb ini dan berakhir pada 21hb dengan paper 'إقتصاديات الزكاة وتطبيقها المعاصرة' (Economics of Zakat and application of contemporary) merupakan subjek terakhir. Cukup 5 paper ni, maka merdeka lah sekejap! tak sabarnyer..

Sebelum jari ini bercuti untuk tempoh 2 minggu berikutnya, ada baik juga saya nak kongsikan beberapa pandangan 'sifu' saya dalam bidang nasyid, iaitu Bro Faizal dari group Fikrah tentang peranan yang harus dipikul oleh mereka yang berdakwah melalui hiburan. 

Sudah lama saya tidak berbual panjang dengannya, maklumlah..masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Pejam celik pejam celik, dah makin 'berusia' dia dan aku pula bertambah 'remaja'.hehe. Awal perbualan kami dimulakan dengan berita sedih tentang kematian nenek yang disayanginya. Bro Faizal ni memang berganda10x sedap dari saya. Pegang suara 'second' dalam group fikrah. Dia pujilah sikit saya sebab dah berjaya bawa Munada ke peringkat camni. Dia cakap banggala dengan pencapaian Munada. Thanks. Sepatutnya kami yang berbangga kerana menjadi satu-satunya anak didik kumpulan ini. 

Dulu masa belajar harmony dan suara,memang selalu kena marah. Lagi-lagi masa tu umur kami baru 15 tahun. Kecik lagi..hehe. Tapi, benda macam tu la yang buat saya boleh nyanyi sikit-sikit walaupun tak sesedap mana. Lepas tu, dia beritahu bahawa dia sudah tengok semua video munada yang diupload di Youtube. Ada yang dia puji, ada juga yang dia komen. Sebenarnya, komen itulah yang paling saya RINDUI. Saya amat sukakan komen serta kritikan yang diberikan. Sudah terlalu lama saya asyik hanyut dengan pujian! Sekurang2nya, Bro Faizal mengingatkan saya supaya banyakkan lagi belajar.


Dia juga menasihatkan beberapa perkara yang saya rasa WAJIB diambil perhatian oleh mereka-mereka yang berkecimpung dalam arena nasyid.

  • Jangan merasa diri/kumpulan sudah terlalu hebat daripada yang lain. Amalkan sikap rendah diri.
  • Jangan upload video ke Youtube macam video ketika latihan atau suka-suka kemudian ditambah-tambah dengan akhlak yang kurang baik lalu dipertontonkan pada orang lain.
  • Sedap atau tidak alunan suara vokal harmoni kumpulan tidak boleh diletakkan sebagai perkara utama yang harus dititikberatkan, sebaliknya UKHUWAH sesama ahli itu yang patut diutamakan.
  • Tunjukkan peribadi baik lebih-lebih lagi bila membawa imej budak nasyid.
  • Bila membawa minus one/lagu dari kumpulan nasyid lain. Jangan 'meniru' bulat lenggoknya, tetapi bawalah dengan alunan dan gaya tersendiri.
  • Suara Unison harus diberi latihan secukupnya. Itulah basic.
  • Banyakkan latihan menggunakan lagu Raihan dan The Zikr. 
Sekian buat waktu ini. Doakan kejayaan saya dalam imtihan nihai'e kali ini.

Tuesday, 22 December 2009

Golongan Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi



manusia diseru supaya tunduk pada Allah dan berpegang pada al-quran dan hadis.


Oleh DR. ASMADI MOHAMED NAIM

SAYA membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) daripada seorang penulis mingguan pada pertengahan November 2009 lepas. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya, al-Farq Baina al-Firaq.

Namun malangnya perkataan al-turuq al-sifatiah atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal, itulah antara perkara yang penting untuk menentukan sama ada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat 20 adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama.

Pada saya, ada sedikit masalah 'ketidakjujuran ilmu', bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi apabila mensyarahkan pengertian ASWJ.

Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara, yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun 1,000 Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin.Penulis tidak merujuk kemunculan metod tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah. Ini masalah 'sikap amanah' dalam penulisan.

Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakah Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas.

Beliau menyatakan (hal.19): "Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Ibu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fikah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis daripada mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan Pencipta, keesaan sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya, hikmah-Nya dan nama-nama-Nya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud dan pada perkara usuluddin."

Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan lapan golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

lGolongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan
Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas daripada fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.

lGolongan kedua ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.

lGolongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa al-ta'dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.

lGolongan keempat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.

lGolongan kelima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.

lGolongan keenam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.

lGolongan ketujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.

lGolongan kelapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.
Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi. Rupanya, ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengeksklusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja, dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talkin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya.

Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19): "Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan Pencipta dan qidam-Nya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihat-Nya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitab-Nya dan rasul-Nya, dan mengikut segala syariat Islam dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh al-Quran serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan.

Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah, lantaran perkara-perkara tersebut. Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.