Thursday, 23 September 2010

Berpesan-pesan sesama remaja


وَتواصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ


Ku mulakan coretan kali ini dengan membawa sepotong firman allah dalam surah al-asr yang bermaksud "Mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran". Membaca ayat ini sahaja sudah pasti mendatangkan satu persoalan kepada kita iaitu perkaitan di antara berpesan dan sikap sabar. Sebagai seorang muslim, seharusnya kita sudah sedia maklum akan konsep berpesan yang dianjurkan agama. Namun, kadangkala sikap berlepas tangan masyarakat Islam kini dalam menyampaikan pesanan mengakibatkan pelbagai kesan negatif telah berlaku dan akhirnya menjadi barah yang sukar diubati.

Kelompok masyarakat yang paling teruk terjejas dengan kesan-kesan negatif adalah dari kalangan remaja. Remaja yang diharapkan bakal menjadi peneraju generasi masa hadapan yang lebih gemilang tampaknya makin pudar. Namun, sebagai seorang yang masih bergelar remaja, aku juga punya keinginan untuk mengajak remaja lain ke arah yang lebih baik agar tidak tersasar jauh. Tetapi mampukah aku berbuat demikian?

Aku bukanlah seorang pengkaji sosiologi remaja, tetapi aku tahu apa yang dimahukan oleh kebanyakan remaja kerana aku juga seorang remaja! Pada pemerhatian ku, remaja inginkan kebebasan, dengan kata lain bebas dari kongkongan ibubapa. Bagi mereka, ini adalah satu bentuk 'penjara' yang membataskan pergerakan mereka dalam melakukan sesuatu tindakan. Kedangkalan pemikiran serta kurangnya kesedaran mengakibatkan 'Kebebasan' yang dinikmati telah disalahguna. Akhirnya memakan diri sendiri dan menggelapkan masa depan yang masih belum muncul sinarnya.

Soal pengaruh rakan juga merupakan elemen penting dalam sikap seorang remaja. Biarpun sekuat mana mereka cuba bertahan, akhirnya ramai yang tertewas. Dek suasana persekitaran yang tidak sihat mengakibatkan diri terpaksa mengikut arus dan tak berdaya melawannya. Ibubapa juga perlulah memainkan peranan penting dalam mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan. Ini adalah supaya ibubapa dapat memastikan aktiviti anak bersama rakan dalam keadaan terkawal.

Sememangnya terlalu banyak faktor yang mempengaruhi kerosakan remaja. Jika ditulis satu persatu, tentu sekali tidak larat untuk membacanya. Biar beribu masalah yang dihadapi untuk mengubah remaja2 ini, jangan kita lupa bahawa agama  merupakan solusi terbaik dalam mencari jalan penyelesaian. Dan Allah telah menjadikan Islam sebagai panduan terbaik dalam hidup seorang manusia.

Dalam menyampaikan pesanan atau dakwah kepada mereka, seharusnya kita terlebih dahulu memahami masalah yang dihadapi mereka. Gunakanlah budi bicara yang sesuai dan penuh dengan kata hikmah. Pesanan yang dicampuri dengan nada2 sinis dan caci maki amat dibenci oleh mereka. Jangan ada unsur paksaan yang melampau. Jangan terlalu keras dalam meletakkan hukum agama pada mereka, cukup sekadar memberi penerangan yang mudah difahami dan membuatkan mereka kembali berfikir. Kerana perubahan yang kita mahukan adalah dari keikhlasan hati mereka, bukannya kerana orang lain. 

Ketika berpesan-pesan, jangan terlalu mengharapkan reaksi positif. Anda harus lebih bersedia dengan reaksi negatif mereka. Jangan terlalu ambil hati jika dimaki semula, anggaplah ia sebagai satu ujian dan cabaran yang harus ditempuhi. Paling penting harus bersikap sabar, bersabarlah seperti baginda nabi s.a.w. Biar dihina dengan pelbagai cara, namun baginda tetap tiada dendam dan membalas dengan perkara kebaikan. Sebab itu, syarat untuk berpesan itu harus memiliki kesabaran sekaligus memasukkan diri ke dalam golongan soleh seperti mana ayat quran sebelumnya yang bermaksud "kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh".

Akhir sekali, bersyukurlah pada allah sekiranya anda berada dalam kelompok kecil yang dipelihara allah dari kerosakan generasi remaja. Peringkatkanlah pesanan dan dakwah kepada mereka yang tergelincir dari landasan kebenaran. Gunakanlah apa juga cara selagimana dihalalkan syarak untuk menarik mereka. Berdoalah supaya Allah berikan ketabahan dalam diri dan tetap di atas jalan-NYa di samping mendoakan moga allah memberikan petunjuk kepada mereka semua. Moga kita semua jadi hamba-NYA yang bertaqwa..