Thursday 25 February 2010

Menghayati Kehebatan Rasulullah S.A.W



Kewajipan Mentakzim Rasulullah SAW
Kata al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitabnya al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa (j. 2, h. 35-36):
Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi SAW sesudah wafatnya serta memulia dan mengagungkannya adalah lazim (wajib), sebagaimana hal keadaan pada masa hidupnya. Dan yang demikian itu adalah ketika menyebut baginda SAW, menyebut hadith dan sunnahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli keluarganya serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabatnya.


Kata Abu Ibrahim al-Tujibi:
Wajib atas setiap mukmin apabila menyebut baginda SAW atau disebut nama baginda SAW di sisinya hendaklah ia tunduk, khusyuk, hormat dan diam dari bergerak serta merasakan kehebatan baginda SAW dan kehormatannya, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia sendiri berada di hadapan baginda SAW, serta beradab sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita.

Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Beginilah akhlak para salafussoleh dan imam-imam kita dahulu (رضي الله عنهم).

Akhlak Para Salaf Terhadap Rasulullah SAW

Imam Malik RA pernah bertemu Ayyub al-Sakhtiyani, seorang perawi hadith yang masyhur, katanya:
“Apabila disebutkan Nabi SAW, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya”.


Kata Mus‘ab bin ‘Abdullah:
Imam Malik apabila menyebut Nabi SAW akan berubah warna rupanya dan menundukkan kepala sehingga menyukarkan hal tersebut kepada orang-orang yang duduk bersamanya. Lalu pada suatu hari beliau ditanya mengenai hal berkenaan, maka jawab beliau:

“Sekiranya kamu sekalian melihat apa yang aku lihat, nescaya kamu sekalian tidak akan hairan kepadaku terhadap apa yang kamu lihat.

Aku pernah melihat Muhammad bin al-Munkadir, dan beliau adalah penghulu para qurra’, hampir-hampir tidak pernah kami bertanya kepadanya mengenai sesuatu hadith pun melainkan beliau akan menangis sehingga kami berasa kasihan terhadapnya.

Aku pernah melihat Ja‘far bin Muhammad - al-Sadiq -, dan beliau seorang yang banyak bergurau dan tersenyum, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, rupa beliau akan berubah menjadi kekuningan (kerana pucat), dan tidak pernah aku melihatnya meriwayatkan hadith dari Rasulullah SAW melainkan dalam keadaan suci.

Pernah ‘Abdul Rahman bin al-Qasim menyebut Nabi SAW, lalu kami lihat kepada warna rupanya seolah-olah telah keluar darah daripadanya (kerana pucat lesi), dan lidahnya menjadi kering dan kelu di dalam mulutnya kerana merasakan kehebatan Rasulullah SAW.

Aku juga pernah datang kepada ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Zubair, apabila disebut di sisinya Rasulullah SAW beliau akan menangis sehingga tidak tinggal lagi air mata di matanya.

Aku pernah melihat al-Zuhri, dan beliau adalah orang yang paling ramah dan mesra, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, maka dia seolah-olah tidak mengenali kamu dan kamu tidak mengenalinya.

Aku juga pernah datang kepada Safwan bin Sulaim, dan beliau adalah dari kalangan ahli ibadah, namun apabila beliau menyebut Nabi SAW, beliau akan menangis dan terus-terusan menangis sehingga orang-orang akan bangun dan meninggalkannya”.


Al-Hafiz al-Sakhawi mengulas dalam kitabnya al-Qawl al-Badi‘ (h. 350):
Maka jika kamu amati benar-benar hal ini, kamu akan tahu apa yang wajib ke atasmu dari rasa khusyuk, tunduk, hormat, beradab dan tekun mengucapkan selawat dan salam apabila menyebut nama baginda SAW atau mendengar namanya yang mulia.

صلى الله عليه وسلم تسليماً كثيراً كثيراً كثيراً


Monday 22 February 2010

Detik bersama Tokoh Perbankan Islam



 Dr Mohd Daud Bin Bakar
• Ijazah Pertama Syariah di Universiti Kuwait tahun 1988
• Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti St. Andrews,United Kingdom tahun 1993
• Presiden di International Institute of Islamic Finance (IIIF) Inc. (BVI),Amanie Business Solutions Sdn.Bhd dan Amanie Islamic Finance Learning Centre LLC Dubai
• Pengerusi Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia.
• Ahli Penasihat Syariah di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
• Bekas Timbalan Rektor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.



Seminar Kewangan Islam BKMPJ 2010 telah dilaksanakan dengan jayanya. Pelan yang dirancang hampir 2 bulan ini berlangsung dengan sempurna atas izin Allah S.W.T. Saya yang turut terlibat dalam AJK Pelaksana Program sebagai Ketua Biro Teknikal dan Persiapan mengakui bahawa program sebesar ini tidak dapat dijayakan tanpa sokongan serta kerjasama dari rakan-rakan. Namun agak terkilan kerana tugas yang dipikul menyebabkan diri ini tidak dapat memberi penumpuan sepenuhnya kepada pembentangan kertas kerja kerana ingin memastikan majlis berjalan dengan lancar.


Apa istimewanya Dr. Daud ini? Bagi kami yang mengikuti pengajian bidang perbankan islam tentunya amat mengkagumi tokoh ini kerana beliau antara mereka yang mengangkat martabat perbankan islam kepada standard yang tinggi sehingga digunapakai hampir di seluruh dunia biarpun Malaysia merupakan antara negara yang terkehadapan daripada negara-negara lain dalam bidang ini. Beliau juga merupakan antara 12 orang di dunia yang mengeluarkan fatwa tentang perbankan islam peringkat antarabangsa. 


Saya masih ingat ketika berada di Malaysia, saya teringin untuk mengikuti seminar yang diadakan di Langkawi dan  dianjurkan oleh salah sebuah syarikat perbankan terkenal. Salah seorang pembentang kertas kerjanya ialah beliau. Namun, hasrat untuk ke sana terpaksa dibatalkan bila melihat yuran pesertanya ialah RM 5000 untuk 2 hari! Alhamdulillah, seminar yang sama berjaya diadakan di Hall A, Dewan Mu'tamarat Wa Nadwat, Universiti Yarmouk dengan kos 5JD (RM25) sahaja! Allah maha berkuasa. Biarpun kos penganjuran seminar ini mencecah RM 15 000, namun ilmu serta pengalaman yang diterima amatlah berharga.


Sepanjang perjalanan seminar, kami tidak menyangka bahawa beliau seorang yang 'humble' dan sudi terima seadanya. Kami sedar bahawa kemudahan yg kami sediakan mungkin tidak setaraf seperti pembabitannya dalam persidangan-persidangan yang ditaja syarikat yang kaya-raya di seluruh dunia tetapi inilah yang terbaik  boleh kami lakukan. Bank Negara sendiri sukar untuk memanggilnya hadir ke mesyuarat lembaga atas kesibukannya menghadiri persidangan di seluruh dunia. Kapal terbang itu sudah menjadi 'Rumah Kedua'nya. Sekali lagi, kuasa Allah mengizinkan beliau hadir ke Seminar ini biarpun kami tahu yang beliau masih letih pulang dari Australia.


Oleh itu, Kami dari seluruh warga AJK Pelaksana Program mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian Dr. dan tidak dilupakan juga kepada panel pembentang sampingan, Ustaz Mahadi, Ustaz Sufian serta penasihat program Ustz Heyzal Hezri dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program Seminar Kewangan Islam BKMPJ 2010 dengan Temanya 'SISTEM KEWANGAN ISLAM,ALTERNATIF KEWANGAN ALAF BARU'.






p/s: Lepas ini, tolong jangan lantik ana jadi AJK. Dengki tengok orang makan sedap-sedap,kita masih bekerja..isk..isk..   

Sunday 21 February 2010

Bersama SAIFULISLAM.COM


Pada minggu lepas, Persidangan Tahunan Mahasiswa 2010 (PERTAMA) telah diadakan dengan jayanya di Universiti Mu'tah, Jordan. Isu dan penerapan persidangan terbesar di Jordan ini memberi tumpuan pada realiti dakwah di Malaysia. Saya (Akim Munada) turut terlibat yang pada mulanya hanya sebagai peserta, tetapi tiba saja di sana. Saya dan beberapa orang rakan saya diminta untuk membuat persembahan. Kami setuju. Pada majlis pembukaan, sebanyak 3 lagu didendangkan iaitu Damai (NSH), Keluarga Bahagia (NSH), dan Semalam (Mirwana) versi acapella. Biarpun diberi masa yang singkat untuk berlatih (kira-kira 2 jam), persembahan berlangsung dengan baik.. Di antara pembentang yang hadir ialah Ustz Mazlee Malik dan juga Ustaz Hasrizal yg terkenal dengan penulisan blognya di Saifulislam.Com. Mereka berdua ini merupakan Ex-Student di Mu'tah University dan Al-Bayt University.

Pada majlis penutup, saya mencadangkan pd rakan-rakan, 'Kenapa tidak saja kita jemput saja ustaz Hasrizal nyanyi sama kita?', cadangan saya diraikan oleh sahabat2.. Setelah perbincangan dibuat,maka ustaz pun setuju. Sebenarnya, ketika ustaz masih belajar di Jordan, beliau telah merakam 2 buah album nasyid, dan lagu Tetamu di Dataran Syam ini merupakan lagu yg agak favourite ketika itu. Biarpun rentak dan alunan tidak sehebat seperti aliran nasyid pada zaman ini. Tetapi lirik serta penghayatan lagu ini amat-amatlah memberi erti pada kita semua. Akhirnya, lagu ini kembali berkumandang semula di Bumi Jordan bersama penyanyi asalnya. Layari video persembahan saya di sini


TETAMU DATARAN SYAM

Tetamu di Dataran Syam ini
Harus gagah seperti Abu Ubaidah
Tanah yang gersang disuburkan
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan

Di celah pohon zaitun yang rendang
Bersemadi Syuhada’ pahlawan Islam
Menanti dan terus menanti
Hadirnya barisan waris perjuangan

Medan ini medan yang susah dan payah
Sesusah Medan Mu’tah di puncak sana
Dan penghuninya juga harus gagah
Segagah Kota Karak perakam sejarah

Di sinilah kau akan membina jiwamu
Jiwa pembela maruah agama
Berbekalkan ilmu berpandukan iman
Islam pasti akan kau merdekakan

Ketibaanmu adik-adikku
Kusambut dengan seribu pengharapan
Agar kau menjadi insan berilmu
Dan pembela nasib agamamu

Hatimu perlu cekal dan tabah
Sesabar tiga Sahabat Rasulullah
Jiwamu perlu subur dengan iman
Sesubuh Dataran Syam bertuah

Kita diajar cintakan kematian
Bagai musuh kita cinta kehidupan
Maka di Bumi Isra’ ini tempatnya
Kau mengenal jihad dan perjuangan

Tetamu Dataran Syam engkaulah harapan
Untuk ummah melihat masa depan
Sebagai Ulama’ sebagai pejuang
Islam pasti akan kau merdekakan

Selamat Datang Tetamu Dataran Syam

Lagu / Lirik / Nyanyian : Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus
Album: Gemilang 1995

Kredit kepada www.saifulislam.com

Monday 8 February 2010

Semester Baru Kembali!

 

Saya menghabiskan cuti hampir 2 minggu di bumi Mesir. Menjelajah hampir kesemua tempat 'Wajib Kunjung' di sana. Mesir mempunyai terlalu banyak tempat menarik, tidak cukup untuk berkunjung ke setiap tempat tersebut dalam masa 2 minggu. Mungkin sebulan baru puas. Ramai pelajar Malaysia dari luar mesir yang berkunjung ke sana, antaranya kami dari Jordan, Russia, Ireland dan beberapa lagi pelajar Malaysia dari Amerika..

Cuaca di Jordan  kini sangat sejuk..kalau tak pakai baju sejuk, boleh beku badan. Air yang keluar dari batang paip dah macam air batu. Kebetulan pulak pemanas air rumah saya rosak, memang merana la! Nak ambik wudhu' pun setakat yang wajib je.. Fuh.. Tak tahan..Demi melaksanakan suruhan Allah, biarlah seksa macam mana sekalipun, kita perlu yakin bahawa Allah akan memberi ganjaran yang sewajarnya.

Semester ke-5 sudah pun berlalu, keputusan yang diperoleh alhamdulillah mencapai target yang saya sasarkan. Mudah-mudahan akan terus konsisten hingga tamat pengajian. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Prof. Dr Kamal Hattab (Seorang ahli Ekonomi yg sering dijemput menghadiri seminar Ekonomi di peringkat antarabangsa, anda boleh layari website beliau di http://www.kamalhattab.info/), Dr. Ibrahim Ubadah (Anak murid kepada murid tokoh ekonomi islam terkenal iaitu Dr. Monzer Kahf), Dr. Najah Abu Futuh (seorang warganegara Mesir), Dr. Asma' As-Syubuli, dan Dr. Mifleh (Beliau merupakan Director di Jordan Islamic Bank dan menjadi pensyarah separuh masa). Mereka semua merupakan pensyarah2 saya pada semester lepas.

Kini semester baru kembali, cabaran baru, doktor baru dan semuanya serba baru..hehe..Pastinya semester ini mencabar bagi saya sebab ada subjek hafazan.."Ya Allah, Kau permudahkanlah aku untuk menghafal ayat-ayat suci-Mu. Hanya pada kau aku sembah dan minta pertolongan..". Alhamdulillah,perancangan saya untuk mendapat 6 subjek pada semester kali ini tercapai. Kredit ku berikan kepada sahabat a.k.a bendahari kelas..haha..Cik Sarah Wahida dan kak fariza (sorry,lambat edit nama) sebab tolong register subject untuk aku sepanjang aku ber'holiday' kat Egypt..

Berikut subjek yang bakal saya ambil pada semester kali ini :
  1. Financial markets and monetary (الأسواق المالية والنقدية)
  2. Social Economy in Islam (الإقتصاد الإجتماعي في الإسلام)
  3. Modern applications in Islamic Economics (التطبيقات الحديثة في الإقتصاج الإسلامي)
  4. Recitation and conservation 2 (التلاوة والحفظ 2)
  5. National Education (التربية الوطنية)
  6. Statistic 1 (إحصاء1)     
p/s: Masih menanti rakan-rakan yang ingin post Travelog ke Mesir. Malas nak buat..hehe..

Sunday 7 February 2010

Kepentingan Muhasabah Diri

Muhasabah adalah perilaku bagi mengitung dan memperelokkan diri yang terbentuk di dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan yang boleh menjadi pengalang untuk mandapat keredhaan dari Allah Taala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang menikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).(Riwayat al-Tarmizi).

Sesiapa yang bermuhasabah dirinya maka dia tidak akan meninggalkan ruang dan masa untuk dirinya melakukan perkara-perkara yang batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang yang dia lakukannya terhadap Allah Taala kerana takutnya diri ini kepada kekuasaanNya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan?

Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie:
Daripada takut akan timbulnya muhasabah
Daripada muhasabah timbulnya muraqabah
Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah Taala.
(Kitab: al-Burhan al-Muayyad).
Secara tegasnya muhasabah pasti akan menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah Taala dan rasulNya serta makhluk-makhlukNya. Melalui muhasabah juga manusia merasa diri mereka tidak diciptakan oleh Allah Taala dengan sia-sia. Setiap manusia pasti akan kembali semula kepada Allah Taala apabila telah sampai waktunya.
Firman Allah Taala bermaksud:

Setiap yang berjiwa (yang bernyawa) akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia telah beruntung. Kehidupan dunai itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.(Surah ali-Imran: Ayat 185).
Di dalam kesibukkan kita mengejar kekayaan dunia ini maka janganlah lupa juga untuk kita menyibukkan diri dengan mengingati Allah Taala. Perkara seperti inilah yang selalu dituntut oleh agama Islam.
Firman Allah Taala bermaksud:

Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu.(Surah adz-Dzaariyaat: Ayat 50).

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang yang benar.(Surah at-Taubah: Ayat 119).
Adapun golongan sufi sentiasa menyibukkan diri dengan penghambaan dan pengabdian diri kepada Allah Taala. Mereka beriman di dalam perjalanan musafir ini menuju Allah Taala dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati bahawa mereka akan kembali kepada Allah Taala pada setiap masa.
Firman Allah Taala bermaksud:
Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi tuhan (Allah Taala) Maha Kuasa. (surah al-Qamar: Ayat 55).
Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:

Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat redha nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimilah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang sahih tanpa bertolak-ansur terhadap perkara yang telah nyata salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas.(Kitab: Qawaid al-Tasawuf).
Demikianlah pentingnya muhasabah di dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas maka seseorang itu akan sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabahlah diri dengan hati yang terbuka agar kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelamahan diri sebelum diri kita menemui ajal.
Berkata Saidina Umar al-Khattab:

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang.
(Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin).
‘Memberi dan Berbakti’