Sunday 6 March 2011

Pengenalan Sistem Kewangan Islam Malaysia


Abdul Hakim bin Johari
Fakulti Syariah dan Pengajian Islam
Jabatan Ekonomi dan Perbankan Islam
Universiti Yarmouk, Jordan

Islam adalah agama fitrah bagi manusia.  Agama yang dibawa oleh baginda Muhammad s.a.w ini merupakan satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah ta’ala sepertimana Firman Allah Ta’ala "Sesungguhnya agama yang diredhai Allah ialah Islam..." (19, Ali Imran). Ajaran Islam yang diturunkan Allah kepada seluruh umat manusia ini bukan sekadar memberi pengajaran tentang Aqidah dan Ibadah semata, bahkan merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah hukum-hakam dan transaksi kewangan.

Berdasarkan keterangan di atas, dapatlah difahami bahawa Islam bukan hanya meliputi hubungan manusia dengan Pencipta, tetapi juga cara manusia mengendalikan sumber-sumber ekonomi yang ada di muka bumi ini seperti mana firman Allah ta’ala “ Katakanlah: Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?” Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang yang mengetahui. (Q7:32)

Maksud Sistem kewangan ialah pasaran-pasaran dan peraturan- peraturan tentang tindakan Perdagangan, mempercepatkan aliran dana daripada pembeli kepada penjual dan daripada penyimpan kepada peminjam. Manakala Sistem Kewangan Islam meliputi aktiviti-aktiviti yang berkaitan kewangan (at-tasarrufat al-maliah) dalam semua sektor ekonomi islam. Ia juga menjadi keperluan kepada pembiayaan (financing needs) oleh setiap unit ekonomi dalam menjalankan kegiatan ekonomi. Dengan kata lain, Sistem Kewangan Islam (SKI) merupakan sistem kewangan yang menjalankan operasi kewangannya berdasarkan prinsip-prinsip syariah.

Asas-asas Sistem Kewangan Islam :
  1. 1.      Aktiviti pelaburan berasaskan perkongsian untung rugi.
  2. 2.      Riba tidak dibenarkan dalam kes-kes hutang.
  3. 3.      Semua aktiviti pelaburan berdasarkan kontrak muamalah.
  4. 4.      Berasaskan penyertaan dalam proses pengeluaran bukan perniagaan secara hutang.

Pada masa kini, hampir semua negara di dunia mengaplikasikan sistem kewangan konvensional dalam menggerakkan ekonomi negara mereka. Walaubagaimanapun, terdapat juga usaha beberapa buah negara Islam yang sudah mula beralih kepada sistem kewangan Islam sepenuhnya seperti Sudan, Pakistan dan Iran.

Apabila memperkatakan tentang Sistem Kewangan Islam, ia adalah satu skop yang sangat luas kerana ia meliputi Sistem Perbankan Islam, Pasaran Modal Islam, Takaful, Unit Amanah, Pasaran Wang, Pasaran Hadapan dan sebagainya. Kesemua ini terbentuk disebabkan terdapatnya permintaan dan keperluan dari masyarakat muslim khususnya untuk menggunakan instrumen-intrumen kewangan yang berlandaskan syariah.

       Perbankan Islam pula merupakan salah satu cabang di bawah sistem kewangan Islam. Kewujudan Sistem Perbankan Islam sebenarnya adalah disebabkan faktor penggunaan riba yang diaplikasikan dalam keseluruhan Sistem Perbankan Konvensional. Disebabkan kesederan tentang perkara ini, maka lahirlah beberapa cendekiawan Islam yang menjadi pencetus dalam bidang ini seperti Dr. Nejatullah Siddiqi (India), Dr. Ahmad Najjar (Mesir), dan Dr. Monzer Kahf.

       Pengertian Bank Islam ialah “sebuah institusi kewangan ekonomi yang dibangunkan dengan perantaraan wang di antara pendeposit dan pelabur berlandaskan konsep syariah”- Dr. Amir A’tum (Masorif Islamiah Mu’asarah). Sistem perbankan dan kewangan islam adalah berlandaskan 4 sumber iaitu Al-Quran, Hadis, Ijma’ dan juga qiyas. Biarpun terdapat perselisihan pendapat diantara pengamal sistem perbankan islam, namun perselisihan ini masih di dalam lingkungan 4 sumber tersebut.

      Terdapat banyak prinsip syariah yang diaplikasikan dalam sistem perbankan islam antaranya Mudharabah, Musyarakah, Murabahah, Bai’ Bithamin Ajil, Bai’ al-Inah, Bai’ As-salam, Bai’ al-istijrar, sarf, Al-ijarah thumma al-bai’, Ijarah, Kafalah, Wakalah, Hiwalah, Ujur, Qardul Hasan, Bai’ al-dayn, Al-wadiah yad dhomanah, ar-rahnu, hibah dan sebagainya.

      Di Malaysia, institusi kewangan islam yang pertama ditubuhkan ialah Tabung Haji pada tahun 1969. Sebelum itu, ia dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji. Desakan reformis-reformis Islam tanah air supaya kerajaan menubuhkan bank islam di Malaysia menjadi kenyataan apabila kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank Islam (National Steering Committee) pada tahun 1981 yang dipengerusikan YM Raja Tan Sri Mohar bin Raja Badiozaman dan LTH dilantik sebagai urusetia. Akhirnya Bank Islam pertama di Malaysia telah berjaya ditubuhkan pada Julai 1983. Kejayaan penubuhan Bank Islam diteruskan dengan penubuhan Bank Muamalat pada tahun 1999.


Perkembangan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Mengikut Tempoh Tertentu*
1950-an
·          Sarjana dan para ekonomi islam mula mengemukakan model bagi sitem kewangan dan perbankan bagi menggantikan perbankan yang berasaskan faedah.
·          Konsep mudharabah berkembar dicadangkan sebagai model untuk perbankan Islam.
1960-an
·          Amalan prinsip pembiayaan islam bermula.
·          Mekanisme operasi untuk institusi kewangan islam dicadangkan.
·          Bangun dan jatuhnya Mit. Ghamar Savings Bank di Mesir,1963-67.
·          Penubuhan Lembaga Tabung Haji di Malaysia.
1970-an
·          Penubuhan bank-bank Islam dan isntitusi kewangan bukan bank.
·          Aktiviti akademik mula diatur.
·          Penubuhan istitusi akademik
·          Mekanisme kewangan murabahah mula dibangunkan.
·          Buku-buku berkaitan perbankan Islam berasaskan PLS, murabahah dan pajakan mula diterbitkan.
·          Bank Islam Dubai, 1975
·          Bank Pembangunan Islam (IDB), 1975
·          Konfren Ekonomi Islam Antarabangsa Pertama 1976 di Makkah
·          Pusat Penyelidikan Ekonomi Islam, Jeddah.
1980-an
·          Kepentingan polisi sektor awam.
·          Lebih banyak bank swasta
·          Pelbagai produk perbankan islam
·          Minat dikalangan ahli akademik dan kelompok kewangan Barat mula bertambah.
·          Bank konvensional mula adakan konsep jendela (window) yang menawarkan produk islam
·          Lebih banyak program penyelidikan, pengajaran dan latihan dilaksanakan
·          Pertumbuhan indeks islam dan dana amanah.
·          Pakistan, Iran, Sudan, Malaysia dan lain-lain negara cuba merubah keseluruhan sistem atau mengguna sistem islam.
·          IMFmenerbitkan kertas kerja, artikel berkaitan perbankan Islam, penyelidikan dan penerbitan berkaitan perbankan Islam berkembang.
·          Akademi Fiqh OIC dan lain-lain Lembaga Fiqh.
·          Penubuhan dana amanah Islam di seluruh dunia.
1990-an
·          Berkembangnya konsep jendela (window) Islam
·          Peningkatan instrument kewangan berasaskan harta, pengiktirafan kepada pentingnya bank dan institusi kewanangan islam.
·          Penubuhan Indeks Islam di Dow Jones dan Financial Times
·          Peraturan dan penyeliaan mula dititikberatkan.
·          Piawaian AAOIFI dikeluarkan
·          Kerja membangunkan institusi penyokong bermula
Awal 2000-an
·          Pertumbuhan dan kematangan yang berterusan di samping cabaran berisiko
·          Lengkapnya arkitek kewangan islam
·          Pengurusan risiko dan kawalan korporat diberi perhatian
·          Saiz ekonomi dan percantuman

·          Pasaran sekuriti berasaskan harta
·          Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam, Malaysia
·          Badan Penarafan Islam Antarabangsa, Bahrain
*Sumber jadual: Sistem Kewangan dan Perbankan Islam, Prof.  Dr. Sudin Haron, hal. 64

p/s: Artikel ini telah disiarkan dalam Buku Kertas kerja dan artikel di Seminar Kewangan Islam ke 2, Univesiti Yarmouk Jordan. Sebarang cetakan dan edaran semula artikel ini adalah DIBENARKAN. Harapan saya agar ia dapat memberi sedikit kefahaman kepada masyarakat muslim lain tentang sistem kewangan islam.

2 comments:

  1. Harap lebih banyak negara akan mempraktikkan sistem kewangan cara islam.
    http://gayasihatku.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. insya'allah.. kita harap satu masa nanti semua negara islam bersatu untuk mengaplikasikan sistem kewangan islam

    ReplyDelete