Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis
Islam Agama Keadilan
Islam adalah agama yang meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan konsep keadilannya. Oleh yang demikian, sebarang isu perlu dinilai terlebih dahulu dari sudut agama itu sendiri.
Apabila membincangkan soal meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apabila Islam mula berkembang, masyarakat Arab Jahiliyyah samada di Makkah mahupun di Madinah (Yathrib) mempunyai krisis politik yang serius. Islam meraikan kedudukan "ketuanan" bangsa-bangsa tertentu dalam negara mereka berdasarkan faktor sejarah dan sebagainya.
Ketika Rasulullah s.a.w. hadir ke Madinah, Rasulullah s.a.w. memberikan kepimpinan politik tempatan kepada "bangsa"yang menetap di situ khususnya golongan Anshar dari kalangan Aus dan Khazraj. Rasulullah s.a.w. dilihat sebagai pemimpin Madinah kerana memimpin sudut keagamaan masyarakat tersebut yang mana agama Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan. Ini akhirnya menyebabkan kepimpinan Rasulullah s.a.w. dalam bidang agama turut juga merangkumi bidang ketenteraan dan politik.
Namun, bangsa Aus dan Khazraj masih memimpin bahagian politik tertentu khususnya melibatkan bangsa mereka. Namun, ketika Islam semakin berkembang sehingga ke Makkah (stelah Fath Makkah), Rasulullah s.a.w. tidak mengambil alih kepimpinan politik tempatan daripada pembesar Quraisy di Makkah walaupun memimpin masyarakat Islam sebagai sebuah Ummah dalam skop yang lebih besar. Namun, ketuanan bangsa sesuatu tempat tetap dipelihara.
Kesultanan Melayu dan Turki Uthmaniyyah
Begitu juga kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang menetap dalam Tanah Melayu sejak sekian lama (beserta golongan pribumi yang lain) bahkan suatu bangsa yang mempertahankan Islam sejak sekian lama di Tanah Melayu ini, serta kesultanan Melayunya secara jelas merupakan cabang daripada Khilafah Uthmaniyyah sebelum kejatuhannya, menunjukkan betapa ketuanan Melayu perlu dipertahankan atas dasar sejarah dan kepentingannya dalam menjadi bangsa utama yang mempertahankan Islam di samping sebagai bangsa yang menduduki tanah Melayu ini. Ketuanan Melayu adalah identiti tanah Melayu di sisi tamadun Islam secara umum dan di sisi khilafah Islamiyyah pada zaman Uthmaniyyah.
Nama asalnya iaitu "Tanah Melayu" sendiri sudah menunjukkan kedudukan bangsa Melayu sebagai penduduk asal yang membangunkan tamadun di Malaysia. Konsep ketuanan sesuatu bangsa tidak pernah bercanggah dengan Islam malah diraikan dalam Islam selagimana ianya dipertahankan atas kerangka agama Islam itu sendiri.
Ketuanan Bangsa dan Fitrah
Mempertahankan ketuanan sesuatu bangsa di tempat mereka adalah fitrah manusia itu sendiri yang lahir cari mencintai bangsa sendiri secara tabi'e. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah ditanya:
[hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam Ibn Majah]
يا رسول الله امن العصبية أن يحب الرجل قومه؟
Maksudnya: Wahai Rasulullah... Adakah dari kalangan Asabiyyah, seseorang itu sayang kaumnya sendiri?"
Rasulullah s.a.w. menjawab:
لا ولكن من العصبية أن ينصر الرجل قومه على الظلم
Maksudnya: "Tidak... Akan tetapi Asabiyyah adalah seseorang itu membela kaumnya ke atas kezaliman..."
Sepertimana di India, bangsa India mempertahankan ketuanan bangsanya, begitu juga di China, bangsa Cina mempertahankan ketuanan bangsanya, di Arab juga, bangsa Arab mempertahankan ketuanan Arabnya, selagimana bukan atas dasar membela bangsa sendiri dalam kezaliman, maka ianya tidak termasuk dalam Ashabiyyah yang ditolak oleh Islam. Selagimana ianya tidak ditolak oleh Islam, maka Islam meraikannya kerana ia adalah suatu fitrah manusia yang mencintakan tanah airnya sendiri.
Konsep "ketuanan Melayu" tidak wajar dilihat secara terasing (daripada konsep Islam) kerana sejak sekian lama, para ulama' Nusantara tidak memisahkan perjuangan bangsa dan agama kerana kepentingan bangsa Melayu untuk mempertahankan agama Islam dan tanah air mereka yang asal. Kepincangan dalam mempertahankan "ketuanan Melayu" oleh sesetengah pihak (politik) tidak boleh dijadikan satu-satunya hujah untuk menolak "ketuanan Melayu" tanpa memahami sejarah dan falsafahnya. Kalau kita lihat "minda umum" para ulama' Nusantara yang mengembangkan agama Islam di Nusantara (termasuk Malaysia), perjuangan bangsa dan agama tidak terpisah terutamanya apabila Islam sudah menjadi sebahagian daripada “takrif” bagi bangsa Melayu itu sendiri.
Kita dapat lihat betapa ramai para ulama' Nusantara mempertahankan "kecintaan bangsa Melayu" dalam semangat mengembangkkan ilmu agama, sehingga mereka menetap di negara Arab sekalipun, namun masih mempertahankan "nisbah bangsa dan tanah air" mereka. Siapa tidak kenal dengan tokoh ulama’ Nusantara seperti Sheikh Nawawi Al-Bantani (dari Banten, Indonesia), Sheikh Mahfuz At-Tarmasi (dari Termas, Indonesia), Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani (dari Padang, Indonesia), Sheikh Abdul Karim Al-Banjari (dari Banjar, Indonesia), Sheikh Wan Ismail Al-Fathani (dari Pattani), Sheikh Shaleh Al-Kalantani (dari Kelantan, Malaysia), Sheikh Shaleh Al-Filfilani (dari Pulau Pinang, Malaysia), dan sebagainya yang masyhur di negara-negara Arab namun masih menisbahkan diri kepada tanah air masing-masing tanda kecintaan kepada tanah asal mereka (iaitulah Nusantara).
Begitu juga para ulama' Nusantara yang menisbahkan diri mereka kepada tanah air masing-masing yang giat mengembangkan Islam di Nusantara seperti Sheikh Daud Al-Fattani (dari Pattani), Sheikh Abdul Shamad Al-Falambani (dari Palembang), Sheikh Arsyad Al-Banjari (dari Banjar), Sheikh Idris Al-Marbawi (dari Merbau, Perak) dan sebagainya.
Berdasarkan gambaran umum "minda" para ulama' Nusantara ini, kita dapati mereka sangat mencintai bangsa, tanah air dan ketuanan bangsa mereka di tanah air mereka, sehingga masih menisbahkan diri mereka kepada tempat-negara mereka. Setiap orang mempunyai kecintaan tersendiri terhadap tanah asal mereka. Bahkan, sejarah Tanah Melayu secara jelas menunjukkan kedudukan bangsa Melayu di tanah tersebut.
Kita perlu faham juga, desakan untuk menolak "ketuanan Melayu" daripada orang-orang kafir adalah daripada minda mereka yang "Liberal" dan ingin menyamakan semua agama (setelah berjaya menyamakan semua bangsa) di Malaysia. Kita perlu berhati-hati dengan kelicikan orang-orang kafir ini dan berhati-hati juga mereka yang dipergunakan oleh orang-orang kafir untuk menjatuhkan keutuhan Islam melalui kejatuhan bangsa utama yang menjaganya di Tanah Melayu ini.
Sebenarnya, mempertahankan ketuanan Melayu di "Tanah Melayu" bukanlah suatu agenda politik parti-parti "kebangsaan" tertentu kerana para ulama' Nusantara yang menyimpan semangat "ketuanan Melayu" (ketuanan Nusantara) tidak pernah mewakili mana-mana parti politik kebangsaan sekular. Bahkan, semangat "Ketuanan Melayu" hanyalah suatu fitrah murni yang memahami asal-usul, sejarah dan kedudukan asal sesuatu bangsa di tanah air mereka. Ketuanan Melayu yang ditolak oleh Islam adalah yang terpisah daripada Islam itu sendiri. Kalau mempertahankan ketuanan Melayu di Tanah Melayu berteraskan semangat "mempertahankan agama dan sejarah tanah air" tidak salah kerana dalam banyak catatan hadith, Rasulullah s.a.w. sendiri mempertahankan ketuanan Quraisy (kepimpinan Quraisy) dalam urusan khilafah islamiyyah secara umum.
Kesimpulan: Islam Menjaga Konsep Ketuanan
Islam itu adalah agama yang mengajar cara hidup yang sempurna. Islam adalah pedoman, sedangkan "tuan" terhadap sesuatu tanah asal itu berkait rapat dengan sifat manusia. Islam mengajar seseorang untuk menjaga hak manusia samada secara individu atau berkelompok. Ketuanan "rumah" seseorang pun dijaga oleh Islam, apatah lagi ketuanan sesuatu bangsa bagi sesuatu tanah air. Ketika Fath Makkah, Rasulullah s.a.w. sendiri mengisytiharkan sesiapa yang duduk dalam rumah "masing-masing" tidak akan diapa-apakan. Itulah Islam.
Meraikan tanah asal sesuatu bangsa, walaupun bangsa tersebut pernah mengusir Saidina Rasulullah s.a.w.. Bahkan, setelah itu, Rasulullah s.a.w. pulang ke Madinah dan menyerahkan urusan politik tempatan kepada bangsa Quraisy semula di samping Baginda s.a.w. memimpin umat Islam sebagai suatu daulah islamiyyah yang yang lebih menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan.
Inilah ajaran Rasulullah s.a.w. yang sangat lapang dan tidak menyalahi fitrah. Dalam mana-mana negara Islam sejak zaman khilafah Islam pun ada konsep meraikan hak bangsa yang membangunkan ketamadunan di sesuatu tempat, untuk terus menguruskan tanah air sendiri. Kita janganlah bicara soal syariah "Islam" sehingga terlupa sudut maqasid syar'iyyah (tujuan pensyariatan)nya. Antaranya adalah menjaga "hak pemilikan", dan sebagainya. "Kita boleh lihat di sekitar khilafah Islamiyyah yang pernah wujud, mempunyai kerajaan-kerajaan tempatan yang menjadi cabang yang bernaung kepada khilafah Islamiyyah yang terbesar dalam zaman tersebut.
Bahkan, ketika zaman Khilafah Uthmaniyyah, Kesultanan Melayu dianggap sebagai cabang kepada khilafah Islamiyyah pada ketika itu bahkan "politik tempatan" yang diamalkan di Tanah Melayu tidak pernah ditolak oleh Khilafah Islamiyyah yang terbesar pada ketika itu. Ini menunjukkan kedudukan konsep "ketuanan" sesuatu bangsa di tanah asal mereka tidak pernah bercanggah dengan Islam. Apa yang salah adalah Ashobiyyah, iaitu membela individu dalam bangsa sendiri yang melakukan kezaliman atas dasar sama bangsa. Hal ini jelas bagi sesiapa yang menguasai ajaran Islam yang menyeluruh dan konsep Hadarah Islamiyyah yang luas.
Sumber : http://www.facebook.com/note.php?note_id=177157942311392&id=100001651082887
P/S : Artikel ini perlu dibaca dengan tenang dan rasional tanpa melihat dari sudut kePARTIan, dan jangan panggil saya racist yer. :)
No comments:
Post a Comment